Saturday, 21 June 2014

‘Syukur ini rezeki saya’ kata Yatt Hamzah

‘Syukur ini rezeki saya’

Oleh Nor Akmar Samudin

Dilamar pihak TV3 untuk mengacarakan program Al-Hidayah bagi mengganti pengacara sebelum ini iaitu Wardina Saffiyah adalah peluang tidak diduga buat Yatt Hamzah.

Lebih-lebih lagi apabila dia hadir ke uji bakat program agama itu dalam keadaan tidak begitu bersedia kerana kesibukannya menguruskan butik miliknya Suci by Yatt Hamzah dan menghadiri program lain.

“Mereka yang panggil saya untuk mencuba nasib dalam uji bakat itu dan dalam kesuntukan waktu saya tidak dapat membuat persediaan selengkapnya. Saya memang tak yakin lebih-lebih apabila melihat orang lain yang turut mencuba nasib semuanya hebat-hebat belaka.

“Saya hanya berserah kepada Allah SWT kerana setiap apa yang saya lakukan adalah kerana-Nya,” katanya.

BERSAMA suami tercinta, Abdul Muthalib Abdul Shukor.


Memang sudah ditakdirkan itu rezekinya, pihak produksi Al-Hidayah menghubunginya dua hari kemudian menawarkan tugas sebagai pengacara baru program berkenaan.


“Saya bersyukur walaupun ilmu di dada serba kekurangan namun saya ingat pesan Rasulullah SAW, “sampaikanlah ilmu walau hanya dengan sepotong ayat,” dan jika saya nak menunggu sehingga saya dapat mempelajari segala ilmu Allah SWT, entah bila saya boleh berdakwah,” katanya.

Menurut Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, supaya dia tidak nampak janggal dan bukan mengikut skrip semata-mata, setiap minggu Yatt akan menghadiri kelas yang dianjurkan kumpulan usrahnya iaitu Usrah Fitrah mempelajari segala ilmu feqah, tasawwuf, akhlak dan memperbetulkan bacaan ayat suci al-Quran.

“Mengacarakan program Islam saya kena banyak bercakap mengenai al-Quran dan hadis. Tak boleh salah dari segi tajwid dan makraj. Pada mulanya saya rasa tak yakin kerana saya bukanlah seorang ustazah tetapi dengan niat untuk menyebarkan dakwah saya nekad mencabar kemampuan diri.

“Hadis boleh dihafal tetapi kalam Allah jangan dibuat main-main. Setiap minggu di kelas Usrah Fitrah saya mencari pengisian ilmu. Membaca skrip tidak sama dengan kita memahami apa yang nak disampaikan. Apa yang keluar di mulut mestilah lahir daripada hati,” katanya.

Selain itu, Yatt juga mahu mengubah persepsi orang ramai terhadap artis yang biasanya dikaitkan dengan fesyen dan sebagainya.

“Siapa pun boleh berubah. Tiada bezanya artis dengan orang lain kerana mereka juga hamba Allah. Mungkin TV3 memilih saya kerana saya memiliki pe–ngikut yang ramai di Instagram dan boleh me–ngajak peminat bersama-sama menonton Al-Hidayah.

“Hampir dua bulan saya mengendalikan program itu dan selesa bekerja dengan produksi Al-Hidayah kerana mereka memberi kelonggaran kepada saya untuk membuat penggambaran. Jika ada minggu tertentu saya sibuk, mereka akan melakukan penggambaran untuk lima atau enam episod sekali gus. Mereka sangat bertolak ansur,” katanya.

Pada musim ini, Al-Hidayah membincang–kan srikandi Islam yang menjadi contoh kepada kaum muslimah seperti Siti Khadijah, Siti Fatimah, Siti Aishah, Siti Zubaidah, Nusaibah binti Ka’ab, Rabiatul Adawiyah, Siti Asiah dan Ummu Habibah.


Mahu tambah cawangan butik

Berbicara mengenai butiknya, Suci by Yatt Hamzah di Busana@Menara Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, Yatt berkata, dia bercadang untuk membuka satu lagi cawangan di Shah Alam.

Namun, dia belum bercadang untuk membuka cawangan di luar Lembah Klang walaupun mempunyai ramai pelanggan dari Kelantan, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei.

“Memang ada banyak permintaan, tetapi saya tak boleh terlalu tergesa-gesa kerana nanti sukar untuk menguruskannya.

“Buat masa ini saya lebih senang berniaga menerusi online dan kepada yang tinggal di sekitar Lembah Klang, boleh datang terus ke butik saya,” katanya.

Yatt ditemui pada majlis ulang tahun keempat anaknya Suci Hanania Malika di kediamannya, baru-baru ini.

Dalam bidang lakonan pula, Yatt agak lama tidak muncul di kaca TV kerana kebanyakan tawaran yang datang tidak sesuai dengan masanya dan skrip juga tidak kena dengan dirinya yang sudah berhijab.

No comments:

Post a Comment