Marah adalah satu daripada pelbagai jenis emosi yang wujud dalam diri kita. Emosi pula adalah petunjuk kepada dalaman kita. Marah dengan itu merujuk kepada apa yang kita rasakan yang puncanya dari dalam diri kita.
Kemarahan adalah suatu emosi yang secara saintifiknya meningkatkan denyutan nadi, tekanan darah dan adrenalin. Rasa marah ini membuatkan perasaan seseorang itu mendominasikan sesuatu secara perilaku, kognitif mahupun fisiologi dalam membuat pilihan dan tindakan.
Jawapan kepada masalah kemarahan ini semestinya bersabar, tetapi untuk menjadi penyabar semasa didalam marah adalah merupakan perkara yang paling sukar hendak dilakukan.
Konsep ‘pause’ adalah cara yang terbaik bagi mengurus kemarahan. Konsep ini mendekatkan kita kepada tindakan secara rasional serta membolehkan kita mengawal tahap emosi.
Oleh itu, penulis berharap konsep ‘pause’ ini sedikit sebanyak boleh digunakan bagi membantu diri untuk kembali waras dan menjadi rasional semasa marah.
Proses di dalam konsep pause ini mudah sahaja. Kita hanya perlu melakukan dua perkara iaitu:
1. Berdiam
2. Berfikir
Di dalam situasi apabila kita dimarahi juga, kita perlu juga melakukan dua perkara di atas.
Berdiam.
Sebagai langkah yang pertama, apa yang perlu dilakukan hanyalah ‘diam’. Kuasa mendiamkan diri ini begitu besar kerana secara tidak langsung ia mampu menerbitkan kesabaran akibat dari permulaan kita melakukan tindakan.
Berfikir
Langkah kedua yang perlu dilakukan untuk mengawal marah ialah, berhenti sejenak dan berfikir.
Mengapa aku perlu marah?
Apakah kesan kemarahan aku nanti?
Bagaimana pandangan Allah S.W.T kepada aku?
Sekiranya persoalan-persoalan ini ditelitikan, ia mampu mengembalikan kita kepada realiti keadaan yang sebenarnya. Mengembalikan diri kita kepada beberapa aspek rasional.
Kesannya, kita akan ‘bangun’ dari keadaan minda yang separa sedar di dalam emosi yang marah. Lalu ia akan menerbitkan perasaan bertimbang rasa kepada pihak yang membuatkan anda marah itu.
Sir Walter Scot, seorang pengarang Scotland mengatakan bahawa “bertimbang rasa adalah laksana lantai perak atau benang sutera yang mempertalikan hati dengan hati, akal dengan akal dan tubuh dengan jiwa.
Oleh itu, konsep ‘pause’ ini mungkin sedikit sebanyak dapat menerbitkan rasa sabar dan sebagai salah satu jalan bagi menguruskan perasaan marah yang meluap – luap itu.
Tetapi jika ia tidak berjaya juga, apa yang perlu anda lakukan ialah ambillah wudhu’ dan lakukanlah solat. Ingat, jangan marah-marah ya!
Oleh: hzqahmd
No comments:
Post a Comment