‘Mereka tidak tahu kesempitan hidup saya’
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Khidir Zakaria, Ikram Ismail
Seremban: “Semua orang salahkan saya dan tuding jari ke arah saya menuduh saya tidak tahu menjaga anak dengan baik, tetapi mereka tidak tahu kesempitan hidup dan kesengsaraan yang saya alami.
“Saya sayangkan anak saya tetapi saya perlu bekerja dan menyara kehidupan dia, saya dan seorang lagi anak lelaki berusia tujuh tahun,” kata ibu remaja orang kelainan upaya (OKU) yang ditemui dalam keadaan menyayat hati oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam sebuah bilik di Flat Semarak, Taman Semarak Fasa 2 di Nilai, semalam.
Remaja malang itu, Muhammad Firdaus Dullah, 15, ditemui Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman dalam operasi 6P bersepadu di kawasan flat berkenaan selepas melakukan pemeriksaan di rumah itu.
Ibu remaja itu yang kini isteri kedua dan mahu dikenali sebagai Lola, 40, berkata, dia bukan meninggalkan anak sulungnya yang menghidap penyakit celebral palsy itu tanpa jagaan dan tidak diberi makan, sebaliknya dia mendakwa meninggalkan makanan dalam bekas polisterin sebelum ke tempat kerjanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).